DISEBALIK SUARA ALIHSUARA ANIME
Khadijah Ibrahim & Abie Abdullah


FIKRIE PINJAMKAN SUARA UNTUK SHIN-CHAN
Oleh: Khadijah Ibrahim - Utusan Malaysia 2005

BIARPUN Crayon Shinchan adalah cerita kartun namun ia amat diminati di kalangan remaja dan orang dewasa. Namun ada ibu bapa yang melarang keras anak-anak kecil mereka menonton siri kartun tersebut. Kenapa? Larangan itu dibuat mungkin kerana Shinchan watak utama dalam siri kartun popular itu adalah seorang kanak-kanak tadika yang "jahat mulut".

Shinchan yang bersuara halus itu sering menimbulkan kemarahan kepada ibunya kerana melakukan perkara-perkara yang ditegah. Mungkin kerana itu, ada ibu bapa yang khuatir anak-anak mereka akan turut terikut-ikut dengan perangai Shinchan itu. Biarpun Shinchan nakal namun sikap tersebut tidak sedikitpun mempengaruhi Arfalie Fikrie Razali, 12, yang meminjamkan suaranya untuk watak tersebut.

Siri Crayon Shinchan yang disiarkan setiap hari Sabtu, 7 malam di NTV7 telah menggunakan suara Fikrie sejak dua tahun lalu. Kata Fikrie, dia hanya meminjamkan suaranya untuk kartun animasi yang popular dari Jepun itu dan bukan mengikut karakter Shinchan.

"Entah saya tidak rasa kenakalan Shinchan mempengaruhi diri saya. Saya hanya meminjamkan suara untuk alih bahasa siri tersebut. Bila selalu jadi Shinchan tidak rasa pula yang dia itu nakal", kata Fikrie jujur.

Fikrie merupakan anak sulung daripada empat beradik ini dipilih menjadi pengalih suara untuk siri animasi tersebut setelah menjalani uji bakat. Pelajar darjah enam Sekolah Kebangsaan La Salle Sentul 2, Sentul itu berkata, semuanya bermula apabila ibu saudaranya, Zairani Sarbini membawanya ke pejabat Karya Nusa Sdn. Bhd., untuk sesi uji bakat. Dia yang pernah berlakon teater Bukit Kepong pada tahun 2001 berkata, sewaktu pertama kali melakukan dubbing dia merasa sedikit gementar. Namun lama kelamaan perasaan itu hilang kerana mendapat sokongan penuh daripada pengalih suara yang lain.

Gara-gara meminjamkan suaranya untuk Shinchan, maka tidak hairanlah di kalangan kawan-kawan rapat Fikrie ada yang memanggilnya Chan.

"Saya tidak kisah jika dipanggil Shinchan atau Chan, kerana itu tandanya kawan-kawan juga menonton siri kartun itu",
katanya sambil tersenyum.

Meskipun Fikrie hanya meminjamkan suaranya, namun ada ketikanya dia perlu korbankan waktu sukaria bersama kawan-kawan. Ini kerana ada ketikanya dia perlu berada di studio rakaman di Karya Nusa, Petaling Jaya dari pukul 8.30 malam sehingga 2 pagi atau dari pukul 10 pagi hingga 6 petang.

Semua itu dilakukan pada waktu cuti sekolah. Selalunya untuk satu rakaman, Fikrie dan pelakon-pelakon lain akan melakukan rakaman untuk dua episod. Jelas Fikrie, dia seronok dengan apa yang dilakukan sekarang ini kerana dapat kumpul wang saku sendiri. Biarpun mendapat bayaran RM45 untuk satu episod, dia tidak pernah boros dengan wang tersebut. Sebaliknya, kesemua wang pendapatannya itu disimpan oleh ibunya dan dia hanya membawa RM1.50 ke sekolah.

"Kisah mama simpan wang itu kerana ia akan digunakan untuk diri saya juga satu hari nanti. Setakat ini mama hanya benarkan saya buat alih bahasa saja. Dia tidak bagi berlakon sebab takut pelajaran saya terabai", katanya yang memang minat berlakon itu.

Sementara itu Zairani yang turut menemani Fikrie berkata, anak saudaranya itu mempunyai bakat semula jadi. Zairani yang sudah 10 tahun membabitkan diri dalam bidang pengalihan suara itu turut meminjamkan suaranya dalam siri Crayon Shinchan untuk watak guru, Yoshinaga.


DISEBALIK SUARA DORAEMON: RUHAIYAH IBRAHIM
Oleh: Abie Abdullah - Harian Metro

MENERUSI siri Doraemon, Crayon Shin Chan, Slamdunk, The Sailor Moon dan Dragon Ball, watak-watak seperti Doraemon, Shin Chan, Hanamichi, Nobita dan Jyian bagaikan menjadi sebahagian daripada dunia kanak-kanak Malaysia. Tarikan kepada siri animasi Jepun ini bukan saja pada jalan cerita dan lakarannya tetapi karektor "suara Melayu" pada setiap watak itu.

Mungkin ramai tertanya, siapa di sebalik suara "meneran" Doraemon atau suara garau Hanamichi. Harian Metro bersama NTV7, mengatur pertemuan untuk mengenali beberapa pemilik karektor suara itu baru-baru ini. Siapa sangka suara kanak-kanak lelaki, Doraemon itu "disuarakan" oleh suri rumah tangga dari Kerling, Selangor berusia 38 tahun. Suara Ruhaiyah Ibrahim sudah sebati dengan watak Doraemon sejak lebih tiga tahun lalu.

Bagaimanapun Ruhaiyah bukan baru dalam kerjaya "dubbing" ini kerana beliau bermula sejak 1988 menerusi drama siri Jepun, Air Stewardess dengan watak Chia Ki.

"Bermula siri drama itu, saya semakin serius dalam bidang ini. Untuk siri kartun, saya baru enam tahun. Sebelum watak Doraemon, saya terlebih dahulu "menjadi" Nobita. Untuk setiap watak, saya atau sesiapa saja perlu menjalani uji bakat suara untuk disesuaikan dengan watak yang ada dalam sesebuah program".

"Kami di Filem Karya Nusa (FKN) biasanya akan menguji suara seseorang dengan dua tiga watak, kemudian akan dihantar ke Jepun. Produser di sana yang bertanggungjawab memilih suara yang sesuai untuk sesebuah watak",
kata Ruhaiyah.

Ruhaiyah tidak menafikan pada mulanya agak sukar baginya "menghidupkan" suara Doraemon terutama perbezaan intonasi bahasa Jepun. Malah kadang-kadang katanya, beliau terikut-ikut dengan gaya percakapan warga Matahari Terbit itu. Katanya lagi, sekarang sudah tidak menjadi masalah besar kerana ia boleh berlaku spontan di dalam studio.

“Bukan saya seorang, rakan lain pun sudah ‘kenal’ watak mereka. Semuanya dilakukan dengan spontan”, katanya yang turut mendemonstrasikan suara Doraemon kepada wakil Harian Metro.

Bagaimanapun Ruhaiyah berkata, dia lebih seronok dan mudah membawa suara pelakon drama berbanding animasi. Pun begitu, kerana kesungguhan dan minatnya dalam pengalihan bahasa, Ruhaiyah kini bergelar produser sejak lapan tahun lalu di FKN. Pengalaman 16 tahun dalam dunia alih bahasa ini memudahkan Ruhaiyah mengetahui kesesuaian suara dengan watak biarpun untuk siri baru.

"Terpulang kepada suara kartun yang asal, selepas prebiu siri itu, kami akan tahu siapa yang layak dengan karektornya. Benda ini berlaku spontan. Biasanya dalam pemilihan bakat ini, saya lebih tekankan pada kelancaran membaca skrip dan minat. Kalau tidak berminat, ia tidak akan jadi”, katanya yang mengambil masa lebih kurang tiga jam untuk menyiapkan satu episod.

Selain Doraemon, Ruhaiyah juga mempelbagaikan suaranya untuk animasi Kaoru, Rin Hane Koma, The Sailor Moon, Dragon Ball, Clifford, Slamdunk dan Teletubbies.


ARIS ARIWATAN
Penyanyi bersuara garau, Aris Ariwatan turut sama dalam dunia alih bahasa. Biarpun secara sambilan, nampaknya penyanyi ini gembira dengan dunia baru ini dan suaranya berjaya menghidupkan watak pemain bola keranjang, Hanamichi Sakuragi dalam Slamdunk. Lebih setahun dan kini memasuki 98 episod, Aris ‘mengenali’ Hanamichi walaupun pada awalnya agak sukar. Animasi ini disiarkan setiap jam 10 pagi Sabtu, melalui NTV7.

"Saya hanya masuk studio setiap malam Khamis, tiga hingga empat jam. Sebenarnya karektor Hanamichi tidak jauh bezanya dengan saya, dia gila-gila sikit. Cuma saya kasihan rakan-rakan lain yang terpaksa menunggu saya untuk masuk studi selepas waktu kerja saya di Majlis Perbandaran Subang Jaya. Seronok kerana ini pengalaman baru dan ia tidak membebankan saya. Cuma itulah yang saya katakan tadi, rakan lain terpaksa menunggu saya", katanya yang masih aktif menyanyi di persembahan makan malam.

Penyanyi Lamunan Terhenti ini berkata, dia tidak memilih watak asalkan apa yang dilakukannya itu menarik. Seronok juga katanya, tidak ramai yang tahu suaranya digunakan untuk watak kartun berkenaan walaupun cuba diberitahunya kepada rakan-rakan terdekat.


ARFALIE FIKRIE RAZALI
Seorang lagi bakat suara, Arfalie Fikrie Razali yang berusia 10 tahun, memegang peranan Shin-chan dalam Crayon Shin-chan yang disiarkan setiap Sabtu, jam 7 malam di NTV7. Siri ini tergolong di antara program popular bukan saja di kalangan kanak-kanak, malah orang dewasa yang tertarik dengan kenakalan Shin-chan.

PuteraNiME.com does not claim to own any picture above.
All images belongs to their rightful owners. No Infrigement Intended.
© PuteraNiME.com. All Rights Reserved.

PuteraNiME.com is a non-profit organization dedicated to serving those who love all Anime and Manga.