SALADIN: BUKTI KEJAYAAN ANAK TEMPATAN
Oleh: Khairunnisa Sulaiman
Utusan Malaysia 31 Oktober 2007

Hasil kerja anak Malaysia kini bukan lagi hanya boleh dilaungkan sebagai jaguh kampung tetapi telah mencapai pengiktirafan global. Bidang animasi yang boleh dikatakan baru bertatih di negara ini telah mencapai lonjakan selepas lebih 10 tahun Koridor Raya Multimedia (MSC) ditubuhkan, memang benar-benar mengujakan.

Ini dapat dilihat dengan kejayaan filem animasi Saladin yang dihasilkan sepenuhnya menerusi kepakaran Multimedia Development Corporation (MDeC) berjaya menggondol hadiah Tokyo Big Sight Award di Pesta Anime Antarabangsa Tokyo 2007.

Projek yang dijalankan oleh MDeC – agensi yang menguruskan MSC Malaysia seluas 750 kilometer persegi mengambil contoh Lembah Silikon di California Amerika Syarikat (AS) yang menawarkan penangguhan cukai dan geran bagi syarikat IT serta penyelidik.

Sebelum ini tiada apa yang boleh dibanggakan dalam dunia animasi Malaysia malah boleh dikatakan agak malap dengan hanya beberapa siri animasi yang ditayangkan di kaca televisyen tempatan.

Bukan saja pengiktirafan tetapi Saladin berjaya memikat hati juri dengan memenangi anugerah cemerlang dalam imej janaan komputer tiga dimensi (3D-CGI), kesan visual khas dan animasi.

Tahun sebelumnya, Saladin telah memenangi anugerah bagi nada teknologi terbaik di Pesta Kartun dan Animasi Antarabangsa Seoul, Korea Selatan. Pengiktirafan animasi Saladin boleh dikatakan satu langkah permulaan yang besar kerana pengiktirafan berkenaan diberikan oleh kuasa besar dalam dunia animasi iaitu Jepun.

Justeru ia juga bakal menjadi pemangkin kepada pengembangan industri kreatif dan animasi di negara ini. Ini juga merupakan petanda bahawa industri kandungan digital (animasi grafik berkomputer) berpotensi besar bagi menembusi pasaran antarabangsa yang dilaporkan menjangkau RM2.4 bilion.

Peluang berkenaan sudah sewajarnya direbut oleh kira-kira 300 pengusaha kreatif tempatan termasuk 50 pengusaha bumiputera bagi menghasilkan karya bertaraf dunia dengan memperkenalkan budaya tempatan bagi tatapan antarabangsa.

Tayangan 13 episod Saladin merupakan sebahagian usaha untuk meningkatkan hub industri teknologi maklumat di MSC. Industri animasi diharapkan akan menjana pembangunan industri kandungan digital negara ke peringkat global yang dijangka bernilai USD644 bilion (RM3,220 bilion) menjelang 2009.

Apabila selesai nanti Saladin akan memberikan pekerjaan kepada lebih 400 pakar kreatif untuk menghasilkan siri 3D bertaraf dunia yang bakal meletakkan bakat negara di industri animasi antarabangsa. Projek berkenaan dijangka tamat akhir tahun ini atau pertengahan tahun depan dan MDeC akan memasarkan siri televisyen berkenaan di Timur Tengah, China dan di Barat.

Selain itu karektor Saladin akan dibangunkan dalam bentuk komik, permainan komputer dan kandungan mudah. Saladin merupakan kisah pahlawan Islam yang lahir dalam keluarga Kurdish dan berjaya menyatukan dunia Islam.

Industri animasi bukan hanya melibatkan karekter kartun semata-mata tetapi lebih meliputi dimensi yang lebih meluas termasuk animasi dalam pendidikan multimedia, permainan (games) serta teknologi komunikasi dan multimedia (ICT). Daya kreativiti rakyat Malaysia harus dipupuk dan diterjemahkan dalam bentuk animasi seperti dalam cerita rakyat atau lagenda yang menarik untuk tatapan dunia. Justeru hasil karya tempatan perlu mempunyai ciri-ciri tempatan dan tidak meniru Barat kerana dunia mahukan sesuatu yang baru.

Selepas menerima pengiktirafan dalam Saladin, tidak mustahil pakar animator tempatan mula terfikir untuk memulakan pengkajian karya agung seperti pahlawan Islam silam yang bakal mendapat pasaran Asia Barat tetapi juga global. Projek berkenaan bukan hanya tertumpu kepada keuntungan semata-mata tetapi gelanggang untuk mempamerkan bakat anak-anak tempatan di persada antarabangsa.

Malaysia mengeluarkan kira-kira 2,000 graduan dalam bidang animasi setiap tahun dan projek seperti ini akan dapat membantu menyerlahkan bakat mereka. Secara tidak langsung, ia akan memberikan pengiktirafan berprestij kepada bakat-bakat animator tempatan sekali gus membuka peluang mereka mengembangkan bakat ke peringkat global.

Justeru menurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Jamaludin Jarjis, kerajaan tidak teragak-agak meluluskan peruntukan sebanyak RM200 juta untuk membina rangkaian pusat animasi di seluruh negara dalam tempoh tiga tahun. Apa yang menarik, pusat berkenaan bukan hanya berpusat di MSC di Cyberjaya tetapi akan dikembangkan di seluruh dan dirangkaikan dengan Cyberjaya.

Bagi menjayakannya MDeC diamanahkan bagi membantu membangunkan pusat-pusat animasi berkenaan bagi menyokong pembangunan kandungan digital, terutama harta intelek tempatan untuk dieksport. Sebagai permulaan Pusat Animasi Negeri Melaka memperolehi peruntukan sebanyak RM4 juta bagi penyediaan infrastruktur animasi seperti peralatan studio yang boleh dihubungkan terus dengan Cyberjaya.

Kerajaan negeri pula memberikan peruntukan sebanyak RM2 juta untuk bangunan dan kos-kos lain. Jamaludin melihat bidang animasi amat berpotensi untuk dikembangkan menggunakan kepakaran tempatan serta mengetengahkan cerita-cerita rakyat seperti Badang, Sang Kancil, Bawang Putih Bawang Merah dan Pak Pandir yang boleh dikongsi dengan masyarakat antarabangsa.

PuteraNiME.com does not claim to own any picture above.
All images belongs to their rightful owners. No Infrigement Intended.
© PuteraNiME.com. All Rights Reserved.

PuteraNiME.com is a non-profit organization dedicated to serving those who love all Anime and Manga.