LAPORAN SEMINAR PENDIDIKAN ANIMASI ASWARA
Disediakan Oleh: Shaliza Dasuki - 28/01/2008

Animasi kian mendapat perhatian di Malaysia daripada pelbagai pihak termasuk kerajaan berikutan kesedaran bahawa industri animasi ini mampu menjana keuntungan yang banyak. Pendapatan sektor ini mampu menyumbang kepada pendapatan negara dalam bentuk tukaran mata wang asing sekaligus membuka banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

Sebagai usaha mempertingkatkan lagi kualiti animasi tempatan, Fakulti Filem dan Video, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) telah menganjurkan satu seminar yang bertemakan “Merangka Pembangunan Pendidikan Animasi Malaysia” baru-baru ini. Penganjuran ini sebagai inisiatif awal ASWARA yang telah dilantik oleh Jemaah Menteri sebagai Pusat Latihan Animasi Malaysia pada Mei 2007 dalam membangunkan sistem pengajaran dan pembelajaran animasi yang lebih berkualiti.

Dalam ucapan perasmiannya oleh Habsah Mohd. Noordin selaku Timbalan Ketua Pengarah HEA dan HEP, ASWARA ingin memenuhi saranan kerajaan dan juga permintaan industri yang memerlukan bukan sahaja tenaga mahir dari segi teknikal dan kreativiti, tetapi mampu menghasilkan produk yang boleh bersaing di pasaran global.

Senimar Pendidikan Animasi Malaysia yang dianjurkan selama dua hari bermula pada 21 dan 22 Januari lepas, mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pelajar-pelajar animasi dari IPTA dan IPTS serta penyertaan daripada pihak-pihak yang terlibat dalam industri ini. Selain memperkenalkan bidang baru dan memberi kesedaran kepada para pelajar mengenai perkembangan terkini dalam bidang ini, seminar ini diharapkan dapat membantu ASWARA mengenalpasti cabaran-cabaran yang dihadapi dalam pendidikan animasi yang sedia ada langsung merangka strategi yang terbaik untuk mengatasi masalah yang dihadapi. ASWARA juga berharap dapat membantu membentuk dan melahirkan modal insan yang mampu memenuhi keperluan bidang animasi negara.

Sebanyak 12 kertas kerja telah dibentangkan dalam empat sesi yang menyentuh aspek-aspek dasar pendidikan, pemasaran dan promosi produk dalam industri dan juga peranan kerajaan dalam menyokong usaha mengembangkan dan menjana industri ini.

Antara pembentang kertas-kertas kerja pada sesi pertama seminar ini ialah tokoh animasi tempatan, Hassan Muthalib, Pengarah Urusan Les’ Copaque Production, Haji Burhanuddin Md. Radzi dan juga Kamn Ismail dari Quest Animation yang membincangkan mengenai sejarah perkembangan animasi tempatan dan trend yang berlaku dalam industri masa kini.

Dalam tempoh lebih 30 tahun, produk-produk tempatan masih sukar menembusi pasaran global kerana kebanyakan hasilan masih jauh ketinggalan dari segi konteks penceritaan dan penyelidikan yang tidak menyeluruh. Para animator di Malaysia lebih memandang kepada penguasaan teknikal seperti penggunaan komputer semata-mata tanpa menguasai aspek-aspek kreativiti seperti kemampuan melukis secara manual yang menjadi asas kepada penghasilan animasi 2D mahupun 3D.

Dalam sesi kedua, penganjur telah menjemput pensyarah-pensyarah dari empat institusi pendidikan iaitu Aaron Ong dari Go Academy, Dr. Ahmad Rafi Mohd. Eshaq dari MMU, Sharkawi Che Din dari UiTM dan Azaini Abdul Manaf dari UNIMAS yang membincangkan tentang sistem pendidikan animasi yang diamalkan di institusi masing-masing. Cabaran besar yang dihadapi oleh institusi-institusi ini adalah bagaimana menghasilkan pelajar yang mampu menguasi bahagian teknikal dan kreativiti sekaligus dan adakah modul-modul yang disediakan berupaya mencapai matlamat itu?

Pengajaran dan pembelajaran animasi yang berkualiti tidak hanya perlu menguasai perisian-perisian komputer tetapi mesti juga berteraskan aspek-aspek penghayatan seni dan asas-asas seni lukis supaya mereka berupaya menghasilkan karya yang mempunyai nilai-nilai estetika dan pengisian cerita bermutu agar diapresiasikan dengan lebih bermakna.

Wakil daripada badan-badan kerajaan juga dijemput sebagai pembentang kertas kerja pada hari kedua seminar yang membincangkan mengenai dasar-dasar dan pembiayaan oleh kerajaan kepada pengusaha-pengusaha tempatan. Wakil MDec, Ahmad Kamil Dato’ Othman dalam pembentangan kertas kerjanya, menyebut tentang perluasan industri animasi dalam kandungan kreatif multimedia yang tidak hanya tertumpu kepada penerbitan kartun animasi sahaja sebaliknya dalam hiburan, pendidikan berasakan hiburan, pendidikan, latihan, penjagaan kesihatan dan juga aplikasi dalam ketenteraan.

Beliau turut menyatakan perluasan animasi sebagai kandungan digital merangkumi e-pembelajaran, kandungan kebudayaan, kandungan perlancongan, kandungan maya, kandungan filem, kandungan perniagaan dan informasi, permainan, dan sebagainya, tidak hanya tertumpu kepada kandungan hiburan sahaja.

Wakil dari MOSTI iaitu Muhamad Shukor Jab membentangkan kertas kerja mengenai dana-dana yang dibiayai oleh kerajaan dalam membangunkan industri kandungan kreatif ini. Sebanyak RM160 juta peruntukan oleh kerajaan di bawah “eContent Fund”, salah satu dana yang disediakan yang boleh dipohon oleh syarikat-syarikat yang layak. Antara syarikat yang mendapat dana ini ialah Les’ Copaque Production, dengan peruntukan dana sebanyak RM1 juta dalam membangunkan filem animasi pertama Malaysia dalam bentuk 3D, “Geng: Pengembaraan Bermula” yang bakal disiarkan dalam tahun ini juga.

Turut sama membentangkan kertas kerja pada sesi ini ialah, Ybhg. Dato’ Abdul Rahman Hamid, Ketua Pengarah Penyiaran, Jabatan Penyiaran Malaysia, RTM. Beliau dalam pembentangannya berkata, RTM, sejak dari awal lagi telah memainkan peranan dalam usaha membantu menaikkan industri animasi tempatan dengan perolehan rancangan animasi. Selain itu, badan penyiaran kerajaan ini turut menggubal dasar bagi meningkatkan mutu industri animasi tempatan.

Selain melabur dalam penggunaan teknologi digital, RTM turut menambah saluran TV2 sebagai alternatif agar penerbitan rancangannya akan mengandungi lebih banyak segmen animasi tempatan. Begitu juga dengan perolehan siri animasi pertama, “Usop Sontorian” dan sehingga kini, RTM merupakan perolehan utama bagi siri animasi yang diterbitkan oleh penerbit-penerbit di Malaysia.

Penyertaan daripada pihak industri seperti INSPIDEA, Tgv Sdn. Bhd., dan Motion Effects Studio berkongsi pengalaman mereka dalam menangani promosi dan pemasaran karya-karya mereka sehingga keperingkat global. Kejayaan penjualan produk mereka ke luar negara membuktikan, animasi tempatan berkemampuan untuk bersaing secara internasional walaupun saiz pasaran masih kecil. Banyak pengedar dari luar yang berminat dengan hasil karya tempatan tetapi ada juga syarikat yang gagal menjualnya kerana tidak mampu menyediakan produk tepat pada masanya. Pengedar-pengedar luar ini hanya berminat untuk membeli sekiranya pilot siri animasi disertakan dengan sekurang-kurangnya 13 episod yang telah siap untuk dijual.

Satu sesi khas bersama Dato’ Lat dalam membincangkan mengenai identity yang bagaimana perlu ada dalam kartun animasi keluaran Malaysia agar ianya dapat dibezakan dengan kartun-kartun barat seperti keluaran Disney dan Pixar dan juga anime dari Jepun. Walaupun sedikit sebanyak pengaruh terutamanya dari Jepun menerap masuk ke dalam industri ini, tetapi ia telah memberi gambaran jelas mengenai persepsi masyarakat global yang mahukan sesuatu yang berlainan daripada yang telah sedia ada. Kelebihan yang ada pada Malaysia ialah budaya masyarakat yang unik dan inilah seharusnya ditampilkan agar dapat menarik perhatian global.

Hasil daripada perbincangan seminar ini dapat dirumuskan bahawa, siri dan filem animasi yang sedia ada dalam pasaran sekarang tidak mempunyai kualiti dari aspek penceritaan dan penyelidikan. Animasi tempatan mampu dan boleh menembusi pasaran global sekiranya pengusaha menitik-beratkan rekaan yang komersil dan berdaya saing serta olahan cerita yang mempunyai nilai pengisian kebudayaan yang sesuai dengan aliran animasi global masa kini.

Kerajaan juga menyokong penuh dalam usaha meningkatkan kualiti dan membudayakan animasi ke dalam budaya tempatan malah bidang ini mempunyai skop yang sangat besar untuk diterokai dan mampu memberikan pulangan yang lumayan. Selain daripada itu, nilai-nilai jati diri tidak usah dilupakan dalam membangunkan kandungan kreatif dan mencari identiti animasi Malaysia.

 

SEMINAR PENDIDIKAN ANIMASI MALAYSIA
21-22 Januari 2008


Tema:
Merangka Pembangunan Pendidikan Animasi Malaysia

Anjuran:
Fakulti Filem & Video Akademi Seni Budaya dan
Warisan Kebangsaan (ASWARA) Kementerian Kebudayaan,
Kesenian dan Warisan.

Tempat:
Dewan Orkestra ASWARA, Akademi Seni Budaya dan
Warisan Kebangsaan, Kuala Lumpur.


Creative Commons License
This work is licensed under a
Creative Commons Attribution-Noncommercial-No Derivative
Works 2.5 Malaysia License.
 
PuteraNiME.com does not claim to own any picture above.
All images belongs to their rightful owners. No Infrigement Intended.
© PuteraNiME.com. All Rights Reserved.

PuteraNiME.com is a non-profit organization dedicated to serving those who love all Anime and Manga.