Suatu ketika dahulu, pasaran anime di Amerika Syarikat
tidak seperti yang anda lihat sekarang. Mereka percaya
anime tidak mungkin akan mendapat sambutan hangat di
kalangan penduduknya. Namun, terdapat sebuah kumpulan
kecil yang telah berjaya mengubah nasib industri anime
di mata dunia.
| CARTOON/FANTASY ORGANIZATION - C/FO |
Fred Patten adalah pengasas kelab anime yang pertama
wujud di Amerika Syarikat dan dikatakan sebagai seorang
tokoh berpengalaman yang begitu luas tentang perkembangan
dunia animasi Jepun. Minat Patten terhadap animasi Jepun
bermula semasa di sebuah kelab sains fiksyen iaitu di
Los Angeles Science Fiction Society (LASFS).
Ketika itu, Patten sedang menghadiri mesyuarat yang
diadakan pada setiap hari Khamis. Patten bertemu dengan
seorang rakan yang juga berkongsi minat dengannya dan
mengajak rakannya itu untuk menonton video animasi buatan
Jepun yang dirakam sendiri oleh Patten. Rakannya berminat
untuk menonton kandungan rakaman video itu dengan memasangnya
ketika di mesyuarat kelab mereka.
Hampir setahun berlalu, sejak pertama kali membawa rakaman
video itu ke kelab mereka, ramai ahli-ahli LASFS turut
membawa rakaman video animasi untuk dipertontonkan yang
lengkap dengan sarikata bahasa Inggeris. Peminat yang
membawa rakaman video masing-masing semakin hari semakin
bertambah sekaligus aktiviti menonton animasi Jepun
itu sudah menjadi salah satu aktiviti mesti ada dalam
kelab mereka.
Penonton yang menonton rakaman video itu berasa begitu
teruja dengan persembahan animasi buatan Jepun kerana
ia tampak jauh berlainan dengan animasi buatan negara
mereka sendiri, Amerika. Misalnya babak ganas yang dipertontonkan
agak luarbiasa. Antaranya, ayah watak hero dibunuh oleh
watak jahat, seluruh bandaraya musnah akibat letupan
besar. Namun watak hero terselamat dari bencana itu
dan telah menyaksikan pembunuhan beramai-ramai yang
membuatkan watak hero ingin membalas dendam terhadap
watak jahat tersebut.
Jika dibandingkan dengan animasi buatan Amerika, animasi
keluaran sekitar tahun 1970-1980an yang secara umumnya
tidak pernah menunjukkan babak-babak pembunuhan atau
mendatangkan kecederaan parah walaupun animasinya dikatakan
animasi bercorak aksi pengembaraan atau wira penyelamat
dunia (superhero). Malahan tahap keganasan watak jahatnya
juga hanya digambarkan dengan rupa wajah hodoh seakan
ganas semata-mata.
Pada tahun 1977, sekelompok kecil peminat termasuklah
Patten sendiri telah mengakui bahawa mereka sudah jatuh
cinta dengan animasi buatan Jepun. Mereka mula menyatakan
hasrat untuk membentuk sebuah kelab berasingan di bawah
kelab LASFS. Bulan Mei 1997, kelompok kecil itu mula
menubuhkan kelab mereka sendiri yang dinamakan sebagai
Cartoon/Fantasy Organization atau C/FO.
 |
| C/FO DAN RAKAN-RAKAN SEKUTUNYA |
Pada bulan November 1977, ahli-ahli C/FO di Los Angeles
mula mengumpulkan seberapa banyak peminat animasi buatan
Jepun yang wujud di seluruh Amerika. Dengan cara itu
juga, mereka boleh bertukar-tukar rakaman video yang
dirakam sendiri oleh para peminat dari daerah lain.
Di Amerika, siaran animasi Jepun berbeza untuk setiap
daerah. Misalnya di Los Angeles menyiarkan animasi Astroboy
sedangkan di New York menyiarkan siri animasi Galaxy
Express 999 dan Cyborg 009.
Sejak dari itu, ahli-ahli dalam LASFS sentiasa berhubung
dengan peminat dari pelbagai daerah di Amerika dan ada
juga segelintir ahli C/FO telah berjaya mencari kenalan
yang mempunyai minat yang sama dari negara lain iaitu
Jepun. Dengan cara itu juga, ahli-ahli C/FO berpeluang
bertukar-tukar rakaman video daripada para peminat dari
Jepun yang memerlukan rakaman siaran TV Amerika seperti
Star Trek dan Battlestar Galactica untuk ditukarkan
dengan rakaman siaran siri animasi mereka.
Walaupun mereka berjaya membuat pertukaran video, masalah
yang perlu mereka hadapi adalah dari segi pemahaman
bahasa. Ini disebabkan rakaman video yang mereka perolehi
adalah rakaman terus dari siaran TV Jepun yang tidak
mempunyai sarikata bahasa Inggeris dan bercampur aduk
dengan siaran iklan mereka. Bagaimanapun, mereka tidak
kisah tentang itu asalkan mereka faham plot jalan ceritanya
ringkas dan mudah difahami sudah cukup memadai.
Pada tahun 1979, para peminat animasi Jepun dan ahli-ahli
kelab C/FO telah pun mula menggunakan istilah "ANIME"
buat pertama kalinya dan sekaligus menjadikan istilah
"anime" sebagai nama rasmi untuk sebarang animasi buatan
dari Jepun.
C/FO bukanlah satu-satunya kelab anime yang sudah wujud
di Amerika malahan di Boston, New York dan juga Philadelphia.
Terdapat juga sebuah kelab bergerak yang dikenali sebagai
Gamelan Embassy sempena nama watak antagonis dari siri
anime Space BattleshipYamamoto. Kelab Gamelan pernah
cuba mempromosikan anime semasa aktiviti Konvensyen
Sains Fiksyen dan Komik di New England dan sekitar Mid-Antlantic.
Dalam tahun 1980, Gamelan turut membuat tayangan siri
anime di bilik hotel yang mereka duduki semasa konvensyen
dengan mengedarkan helaian kertas kepada para pengunjung
konvensyen itu sebagai satu cara untuk menarik lebih
ramai peminat. Kandungan helaian tersebut, "Sekiranya
anda ingin menonton kartun Jepun, sila datang ke bilik
No. 123. Kami akan pasangkannya sepanjang malam".