ANIME DI U.S: SATU CABARAN BUAT PEMINAT - Bhg. 2
PUTERANiME Buletin Daioh! - Edisi 00 01/02/2007

C/FO DAN STUDIO ANIME DI AMERIKA

Amalan merakam siaran TV anime amat ditegah sekeras-kerasnya oleh pihak syarikat tanpa sebarang keizinan dari pemilik. Untuk mendapatkan keizinan merupakan perkara paling sukar untuk mereka kerana kebanyakkan syarikat animasi Jepun tidak membuka cawangannya di Amerika. Hanya 3 buah syarikat yang diketahui telah membuka pejabat cawangannya di sana seperti Toei Animation, Tokyo Movie Shinsa (kini dikenali sebagai TMS Entertainment) dan Tatsunoko.

Bagaimanapun, jawapan yang diterima dari syarikat tersebut masih tetap adalah tidak. Ini adalah kerana, wakil syarikat tidak diberi kuasa untuk memberi kebenaran atau kelulusan merakam dan ditayangkan secara terbuka. Pada ketika itu jugalah, Patten mula mendekatkan dirinya untuk terlibat secara tidak langsung dengan kumpulan studio animasi Jepun.

Dalam tahun 1978, Toei Animation membuka cawangannya yang pertama di bahagian utara Hollywood. Tujuan pembukaan cawangan Toei Animation di sana adalah bertujuan mempromosi animasi terbitan syarikat mereka untuk pasaran barat. Setelah hampir sedekad tiada sebarang aktiviti dijalankan, wakil Toei Animation mendapat tahu tentang kewujudan kelab C/FO dan cuba meminta bantuan ahli-ahli C/FO untuk melakukan sedikit kaji selidik pemasaran.

C/FO memberi cadangan kepada pihak Toei dengan mempromosi dan menjual cenderahati di San Diego Comic-Con sebagai langkah permulaan. Ketika itu jugalah, Patten menjadi orang pertama yang membuka gerai promosi untuk produk cenderahati anime.

Toei menyediakan 2 jenis contoh cenderahati iaitu cenderahati untuk lelaki (Shonen) dan juga untuk perempuan (Shojo). Toei turut menyediakan tayangan percuma siri program anime untuk golongan penonton lelaki iaitu Captain Harlock dan anime untuk tontonan golongan perempuan iaitu Candy Candy. Penjualan cenderahati untuk lelaki habis dijual sebaliknya cenderahati untuk perempuan tidak mendapat sambutan dari penonton yang menonton siri anime mereka.

Puan Hozumi, wakil dari Toei Animation telah menayangkan siri anime episod pertama iaitu Captain Harlock, Captain Future dan beberapa siri lagi anime bercorak shojo. Penonton begitu tertarik hati dengan persembahan animasi yang dipertontonkan kepada mereka dan merasakan ianya tidak sama seperti animasi yang diterbitkan oleh negara mereka sendiri. Melihatkan reaksi mereka, Hozumi telah menulis beberapa catatan segala perkara yang berlaku ketika di konvesyen itu kemudian dimasukkan ke dalam laporannya untuk dibawa pulang ke Tokyo, Jepun.


NIAT HANYA UNTUK MEMPROMOSI ANIME

Pada tahun 1979 di Hollywood, pihak Tatsunoko pernah memaklumkan kepada mereka yang mereka sudah tahu tentang aktiviti tayangan anime secara terbuka tanpa izin. Toei, TMS dan Tatsunoko juga sedar akan niat baik mereka dan mereka juga berasa serba salah untuk menghalang tujuan sebenar mereka. Lagipun, mereka bukan pihak yang boleh membeli dan melesenkan anime mereka di Amerika. Ini adalah kerana mereka hanya sekadar sebagai sekumpulan peminat anime sahaja, sekalipun niat mereka itu bukan untuk tujuan mencari keuntungan.

Setahun selepas itu, pihak TMS bercadang untuk menyediakan slot tayangan anime iaitu Lupin III : Castle of Cagliostro yang akan ditayangkan semasa Konvensyen Sains Fiksyen Sedunia di Boston. Patten pada masa yang sama juga adalah salah seorang sukarela untuk acara konsert dalam konvensyen itu. Patten telah melakukan sendiri kaji selidik dengan mengedarkan borang kaji selidik kepada penonton semasa tayangan itu nanti. Patten menyuruh penonton yang datang ketika itu mengisi borang sebelum tayangan itu tamat kemudian borang yang dikumpulkan itu diberikan kepada wakil TMS.

>> Bersambung... | Bhg. 1 | Bhg. 2 | Bhg. 3|

Creative Commons License
This work is licensed under a
Creative Commons Attribution-Noncommercial-No Derivative
Works 2.5 Malaysia License.
 
PuteraNiME.com does not claim to own any picture above.
All images belongs to their rightful owners. No Infrigement Intended.
© PuteraNiME.com. All Rights Reserved.

PuteraNiME.com is a non-profit organization dedicated to serving those who love all Anime and Manga.