FORMAT ANIME TV, OVA dan MOVIE

- TV -

Anda semua tentu sudah tahu bahawa TV adalah singkatan dari perkataan asal iaitu "Television". Walaubagaimana pun, perkatan TV dalam anime digunakan adalah merujuk sesebuah siri anime yang disiarkan terus oleh syarikat penyiaran ke kaca televisyen. Perkataan TV juga digunakan untuk memaklumkan kepada peminat/penonton bahawa anime tersebut adalah sambungan ataupun olahan semula samada dari versi Movie atau OVA. Contohnya :

*BLOOD: The Last Vampire -> Blood+ the TV
*Read Or Die OVA -> R.O.D the TV


Format TV mempunyai 1 hingga 12 episod atau lebih antara 24 dan 26 episod untuk satu musim. Tempoh masa tayangan samada 15 minit ataupun sehingga 25 minit. Kualiti animasi tidak sebaik versi OVA namun masih dianggap bermutu samada dari segi tayangan mahupun persembahan. Kadangkala ada juga animasi versi TV kelihatan lebih baik buatannya, bergantung pada kos perbelanjaan yang diterima daripada pihak penaja.

*Walaupun Naruto mempunyai beratus episod, namun setiap jumlah episod dibahagikan mengikut musim (season). Misalnya, 24 episod untuk musim pertama kemudian 22 episod lagi untuk musim kedua, ketiga, keempat dan seterusnya. Jumlah episod yang banyak bergantung pada populariti dan permintaan untuk sesebuah animasi tersebut. Contohnya Dragonball, Ranma 1/2, Naruto, Bleach dan lain-lain lagi.

- OVA -

OVA atau Original Video Animation, dikaitkan sebagai siri sampingan atau istimewa dari siri TV. Masa tayangan untuk versi OVA kadangkala sama seperti versi TV iaitu antara 25 hingga 30 minit untuk satu siri malahan ada juga yang lebih lama masa tayangannya sehingga 1 jam. Kualiti pembikinan anime versi OVA lebih baik berbanding TV tapi masih tidak sebaik versi Movie. Jumlah episod yang dihasilkan samada 1 episod sahaja ataupun sehingga 6 episod untuk satu siri lengkap. Kadangkala lebih lagi, tapi jarang dipraktikkan.

*Anime Brave King GaoGaiGar : Final OVA pada asalnya mempunyai 8 episod lengkap. Kemudian siri tersebut diterbitkan semula untuk dijadikan versi TV yang mengandungi 4 lagi episod tambahan sekaligus menjadikan siri tersebut memiliki 12 episod lengkap untuk siaran satu musim.

Anime versi OVA diterbitkan dan diedarkan terus ke format VCD atau DVD terlebih dahulu tanpa menyiarkan siri tersebut ke kaca televisyen. Siri-siri atau tajuk anime yang dipasarkan samada sebagai siri sambungan yang sudah disiarkan di televisyen, diadaptasi dari manga (komik) atau novel dan juga karya atau idea asal syarikat animasi itu sendiri. Kadangkala ia dijual sekali dalam satu pakej (boxset) yang mengandungi versi TV dan OVA.

*Anime R.O.D OVA (Read Or Die) pada mulanya diedarkan terus ke pasaran dan selang setahun kemudian, siri tersebut disambung semula ke versi TV iaitu R.O.D the TV. Dalam versi TV, R.O.D the TV memperkenalkan beberapa karakter baru yang tidak wujud dalam versi OVA.

Sebutan atau perkataan OVA (Original Animation Video) diperkenalkan di Jepun dan majoriti peminat samada di Jepun ataupun antarabangsa lebih mengenali perkataan OVA. Manakala OAV (Original Animation Video) istilah yang sering digunakan untuk pasaran antarabangsa. Walaubagaimana pun, kedua-dua istilah tersebut adalah sama sahaja.

- MOVIE -

Anime versi Movie merupakan animasi yang menelan belanja yang begitu besar untuk kos perbelanjaan pembikinan sesebuah filem animasi. Anda cuba bayangkan sahaja filem-filem animasi keluaran "Walt Disney" ataupun "Warner Bros", betapa berkualitinya tayangan filem mereka. Di Jepun, antara syarikat produksi filem animasi yang berjaya dan terkenal di dunia seperti Studio Ghibli (the Japanese Walt Disney) dan pengarahnya, Hayao Miyazaki. Antara filem mereka yang terkenal seperti Kiki's Delivery, Spirited Away, Howl Moving Castle dan banyak lagi.

Terdapat juga siri-siri anime dari versi TV dipilih untuk dijadikan versi Movie samada sambungan terakhir siri anime terdahulu, diolah semula (remake) ataupun sebagai menghargai populariti siri TV anime tersebut dan sokongan daripada para peminat. Setiap tajuk anime versi difilemkan selalunya ditambah perkataan "...the Movie" pada penghujung tajuk asal anime yang diadaptasikan. Contohnya :

*Naruto -> Naruto the Movie
*Fullmetal Alchemist -> Fullmetal Alchemist the Movie
*Cardcaptor Sakura -> Cardcaptor Sakura the Movie
*Sakura War -> Sakura Wars the Movie


Ada juga anime versi Movie pada asalnya adalah gabungan dari beberapa episod versi OVA yang disatukan menjadi sebuah filem. Misalnya, Read Or Die OVA mempunyai 3 episod yang diolah semula (remake) dan digabungkan sekali untuk ditayangkan di pawagam, Read Or Die the Movie. Perkara tersebut berlaku apabila pasaran anime mereka mula memasuki pasaran antarabangsa seperti U.S.A dan England kerana menerima permintaan untuk dijadikan versi Movie.

Kesimpulan
Walaupun animasi buatan dari Jepun yang kita kenali juga sebagai anime, mempunyai berbagai versi atau format iaitu TV, OVA dan Movie. Namun ketiga-tiga versi tersebut sentiasa saling berkaitan sekaligus menjadikan siri-siri anime keluaran mereka semakin hari semakin meningkat popularitinya di peringkat antarabangsa.

TV -> Movie
Movie -> TV
OVA -> Movie
OVA -> TV -> Movie
TV -> OVA -> Movie
Movie -> OVA -> TV

Tentu anda akan bertanya, "Mengapa mereka bersusah payah untuk semua itu?" Jawapannya mudah sahaja, kerana budaya menonton anime adalah salah satu budaya utama masyarakat Jepun dan juga sumber pendapatan ekonomi negara mereka. Malahan kerajaan Jepun turut sama membantu dan memberi sumbangan dalam meningkatkan pembangunan industri animasi mereka samada dari segi pendidikan, teknologi dan juga kebudayaan.
 

Creative Commons License
This work is licensed under a
Creative Commons Attribution-Noncommercial-No Derivative
Works 2.5 Malaysia License.
 
PuteraNiME.com does not claim to own any picture above.
All images belongs to their rightful owners. No Infrigement Intended.
© PuteraNiME.com. All Rights Reserved.

PuteraNiME.com is a non-profit organization dedicated to serving those who love all Anime and Manga.