FILEM animasi cukup terkenal di Jepun.
Namun, keadaan itu tidak sama di Malaysia walaupun sudah lama
ia diperkenalkan. Kebanyakan penonton tempatan lebih selesa
menonton filem cereka. Hingga kini, hanya dua filem animasi
pernah dihasilkan produksi tempatan iaitu "
Silat Lagenda"
pada 1998 dan "
Putih", beberapa tahun kemudian. Selepas
itu, tiada lagi filem animasi baru.
Apapun, situasi ini amat berbeza dengan masyarakat Jepun. Pengaruh
filem animasi di negara mata hari terbit itu begitu luas. Boleh
dikatakan kebanyakan penduduknya lebih suka menonton program
animasi. Oleh itu, tidak dinafikan permintaan terhadap karya
animasi begitu tinggi. Namun, tidak semua karya sesuai dan boleh
ditonton. Ini kerana filem animasi juga mendapat perhatian badan
penapisan filem.
Presiden Telecom Animation Film,
Takeuchi Koji, berkata
jika ingin memudahkan kelulusan badan penapisan filem, adegan
ganas perlulah dielakkan. Dalam soal ini, kepekaan pengarah
amat penting.
“Jangan mudah berpuas hati dengan satu-satu adegan yang
ditonjolkan. Ia akan membuatkan adegan tidak sepatutnya gagal
dikenalpasti. Justeru, ia akan menyebabkan proses penapisan
mengalami gangguan."
“Sekalipun ia hanya aksi dalam lakaran tetapi keganasan
sememangnya tidak digalakkan dalam animasi. Oleh itu, sebagai
animator dan pengarah bertanggungjawab, perlulah bijak serta
lebih kreatif."
“Penggunaan kreativiti juga penting dalam animasi. Ia
bagi memudahkan karektor dan situasi ganas itu digarap dengan
berkesan. Maksudnya, keganasan yang ditonjolkan tidak melampau
dan nampak selamat,” katanya.
Kata Takeuchi lagi, ada tiga elemen tidak boleh ditonjolkan
dalam filem animasi terbitan Jepun. Antaranya tidak boleh menunjukkan
aksi menembak atau menghulur pedang ke leher lawan.
“Namun, untuk selamat dan apa yang diilhamkan itu mampu
direalisasikan, animator perlu bijak melakar sebarang pertarungan
yang ingin ditonjolkan secara ringkas dan tepat,”
katanya pada ceramah di Balai Seni Lukis Negara, baru-baru ini.
Ceramah selama tiga jam itu dihadiri pelajar institusi pengajian
tinggi (IPT), pengarah muda dan peminat animasi. Banyak yang
dibincangkan termasuk penayangan beberapa filem animasi terbaik
Jepun. Katanya, kejayaan sesebuah filem animasi tidak terletak
pada satu faktor tetapi banyak lagi yang mempengaruhinya.
Walaupun, tanpa adegan ganas, filem animasi akan tetap diminati
penonton asalkan jalan ceritanya menarik dan tidak membosankan.
Pada ceramahnya itu, Takeuchi turut berkongsi sejarah animasi
di Jepun.
Katanya, perkembangan dunia animasi di negara itu bermula pada
1946, sama seperti yang berlaku di Malaysia. Bermula dari detik
itu, filem animasi semakin berkembang dan diterima baik di Jepun.
Hingga kini, dalam tempoh seminggu hampir 100 filem animasi
pendek dihasilkan di sana.
Kini, Jepun adalah pesaing terdekat produk animasi Hollywood.
Lihat saja filem animasi Jepun seperti Doremon, Sinchan, Dragon
Ball dan Sailormoon berjaya menembusi pasaran antarabangsa.
Katanya, apa yang penting animasi Jepun dan Hollywood banyak
bezanya.
Antaranya, kebanyakan animator bertindak sebagai pengarah, manakala
Hollywood lebih kepada penerbit. Bukan itu saja, Hollywood juga
banyak bergantung kepada kecanggihan komputer tetapi Jepun menggunakan
teknologi terkini serta lakaran tangan.
Sebagai animator ternama Jepun, Takeuchi pernah menerbitkan
beberapa filem animasi terbaik seperti Lupin The Third: Intrigue
Of The Fumas, Little Nemo - Adventures In Slumber Land, Cyber
Six dan Survival-No Man's Planet.