
Petikan temubual Nizam Zakaria bersama
Hassan Abd. Mutalib...
Nizam Zakaria
"Sebelum kita mulakan wawancara ini, boleh saudara Hassan
terlebih dahulu memperkenalkan diri saudara kepada kita semua.
Maksud saya, pekerjaan saudara, tempat asal serta latar belakang
pendidikan saudara..."
Hassan Abd. Mutalib
Lahir 3 Nov 1945, Alor Setar, Kedah. Berpindah ke Jelutong,
Pulau Pinang pada tahun 1950. Mendapat pendidikan di SEKOLAH
MENENGAH GEORGETOWN sehingga Tingkatan 5. Gagal SPM 1963 (9F
bagi 7 subjek, 7P dalam Senilukis, 1A dalam B Inggeris - baca
buku 'adventure' sahaja bukan buku teks). Datang ke KL tahun
1964. Berkerja di Pasaraya Robinsons (Pasaraya pertama) di Jalan
Tun Perak. Gaji RM100 sebulan, (tapi teh tarik 10 sen, roti
canai 10 sen masa itu!) membantu kawan sedarjah saya untuk melukis
dan menghias showcase. Itulah pengenalan terawal kepada sesuatu
yang berkaitan dengan set. Setiap perayaan, saya kena dekorasikan
setor 4 tingkat dan membuat lukisan-lukisan bersaiz besar (antaranya
95 kaki x 5 kaki).
Pada 1965, saya membeli sebuah kamera dan mempelajari senifoto.
Inilah yang mula memperkenalkan saya kepada bidang komunikasi
melalui media "manipulated images". Pada tahun 1967,
saya belajar sendiri dan menduduki peperiksaan SPM sekali lagi.
Terperanjat bila lulus! (Tapi Gred 3 sahaja). Kebetulan ada
iklan Filem Negara semasa itu. Saya mohon dan daripada 10 orang
yang memohon, saya dipilih. Saya melukis tajuk filem dan terlibat
dalam pembikinan set.
Pada tahun 1972, saya diminta untuk menerbitkan treler animasi
untuk HARI X'MAS. Tak tahu animasi, menulis atau mengarah. Tak
dapat tunjuk ajar. Mulalah gila nak buat animasi selepas itu.
Antara treler yang menjadi popular dengan penonton selepas itu:
NYAMUK AEDES, JIMATKAN ELEKTRIK dan ANTI-DADAH.
Pada tahun 1975, saja-saja ambil STPM. Dapat sijil saja. Tapi
pendedahan mendalam pada sastera membuka mata saya terhadap
teks filem. Dikaitkan dengan pengetahuan fotografi, maka datang
minat kepada filem. Ikut sesi DIALOG CERDIK yag dianjur ANA,
Johan Jaafar dan lain-lain, pada tahun 1983. Sebelum itu pada
tahun 1978 saya terlibat dalam animasi untuk iklan filem/TV.
Apabila dah bercampur dengan orang-orang pandai, maka kita dapatlah
sikit ilmu. Buat iklan sehingga 1994. Yang terakhir SUGUS untuk
Indonesia, Malaysia, Thailand dan HK. Menjadi Ketua Unit Senireka
pada tahun 1981.
Menteri Penerangan minta saya buat filem animasi SANG KANCIL
dan MONYET/BUAYA pada tahun 1983 selepas menonton filem HIKAYAT
SANG KANCIL (arahan A. XAVIER). Tak pernah menulis, buat animasi
atau mengarah filem naratif pendek. Buat juga. Meletup! Dapat
buat 5 filem pendek sebelum bersara atas pilihan sendiri pada
tahun 1995. Dapat 2 Anugerah SRI ANGKASA untuk IDEA TERBAIK
dan TRELER TERBAIK. ANUGERAH JURI untuk DOKU TERBAIK di Festival
Filem Asia-Pasifik, Jakarta dan VISUAL EFFECTS TERBAIK untuk
animasi bagi filem MAT GELAP.
Pernah reka dua set untuk drama Tamil pada tahun 70-an. Selepas
bersara, menulis, mengarah, buat 'prod design' dan menyelia
'Visual Effects' untuk SILAT LEGENDA, filem animasi pertama
Malaysia. Pernah menjadi ahli panel juri beberapa festival filem
tempatan dan sekali di Korea Utara (1998).
Bentangkan dua kertas kerja di Tokyo (1996 dan 2003). Menjalankan
kursus/bengkel doku/animasi di India dan Sudan. Kini menjadi
pensyarah sambilan di Universiti LimKokWing, One Academy, Go
Academy dan Akademi Seni Kebangsaan.